Pelajar lupakan hasrat ke IPT mahu urus adik, ibu - Utusan Malaysia

Pelajar lupakan hasrat ke IPT mahu urus adik, ibu

SITI Hajar Majid (kiri) melihat Nur Amylia Shaida Mohd. Yusri membantu Irfan Fahmie yang terlantar di atas katil di Kampung Kilang Sagu, Kulim hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pelajar sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) demi membantu menguruskan adik lelakinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) serta ibunya yang turut menghadapi masalah kesihatan.

Siti Hajar Majid, 45, dari Kampung Kilang Sagu di sini berkata, anak sulungnya, Nur Amylia Shaida Mohd. Yusri, 18, menolak tawaran biasiswa dari sebuah pusat perubatan dan institut pengajian tinggi kerana tidak mahu berjauhan dengan mereka serta membebankan keluarga.

“Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini agak baik namun dia mengambil keputusan untuk menyambung ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi di sini sahaja yang terletak berhampiran rumah.

“Oleh itu, boleh berulang setiap hari ke sekolah dan membantu saya menguruskan keluarga serta dua orang adiknya, belajar di sini, selain menjimatkan kos perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Siti Hajar yang merupakan seorang suri rumah dan suaminya, Mohd. Yusri Osman, 45,  pula  seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pula mempunyai tiga anak.

Dua lagi anaknya ialah Irfan Fahmie,17, yang merupakan OKU  dan ketiga, Nur Atylia Shuhada, 6.

Irfan Fahmie menghadapi masalah celebral palsy dan jangkitan kuman pada paru-paru sejak kecil dan kini hanya mampu terbaring di atas katil khas sahaja.

Menurut Siti Hajar,  dia pula mengalami  masalah kesihatan tulang rawan tergelincir (slipped disc) ketika mengangkat Irfan Fahmie pada April.lalu.

“Sejak itu saya tidak mampu berdiri lama dan perlu berjalan menggunakan tongkat dan hanya boleh melakukan kerja-kerja ringan sahaja,” tambahnya.

Jelasnya,  anak kedua itu juga memerlukan perhatian sepanjang masa kerana makan melalui tiub khas serta perlu membuang kahak setiap beberapa jam.

Tambahnya, Irfan Fahmie akan dibawa berjumpa pakar di Hospital Kulim dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

“Dia perlu susu khas sebagai makanannya di samping lampin pakai buang dewasa dan ubat-ubatan yang ada antaranya perlu dibeli sendiri.

“Kos untuk menguruskan Irfan Fahmie setiap bulan sekitar RM1,000 lebih, mujurlah dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500,”ujarnya lagi.

Siti Hajar berkata,  suaminya pula hanya mempunyai pendapatan sekitar RM1,800 sebulan sahaja bergantung kepada jumlah jam bertugas.

“Jumlah gaji suami saya hanya digunakan untuk  menanggung kami sekeluarga serta kos rawatan Irfan Fahmie,

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bolehlah menghubungi Mohd. Yusri Osman 017-5271337 atau melalui  akaun bank Maybank atas namanya,  152031648584- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya