Pelajar IPT kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober - Utusan Malaysia

Pelajar IPT kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Lebih 1.2 juta pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT, wakil-wakil persatuan IPT Swasta; serta Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil Kesatuan serta Persatuan Pelajar.

Beliau berkata, proses kemasukan pelajar ini akan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

“Keberadaan warga IPT yang lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus.

“Justeru, SOP ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan pengoperasian IPT, hari ini.

Katanya, beliau menjelaskan bahawa hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus. 

Noraini berkata, bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

 

Menurutnya, IPT juga perlu membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan ketat.

 

“Bagi pergerakan pelajar IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus diperlukan.

 

“Manakala, bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan pula, ia tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan kerajaan negeri masing-masing. 

 

“Bagi pelajar IPT Sarawak, Sabah dan Labuan, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada polis dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. Ujian itu akan diberikan percuma di klinik kesihatan kerajaan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Noraini berkata, bagi kemasukan pelajar antarabangsa pula, kebenaran masuk ke Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori.

 

“Ia membabitkan pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat; pelajar antarabangsa yang mengikuti program Nobiliti dan Edutourism; dan tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.

 

“Bagi pelajar antarabangsa yang lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 

 

“Ujian Swab RT-PCR Covid-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN