GEORGETOWN: Pasar Pulau Tikus dan tapak penjaja sementara (TPS) di hadapan pasar berkenaan di sini diarahkan tutup sementara mulai hari ini ekoran terdapat kes positif Covid-19 dikesan melibatkan peniaga dan pembantu gerai di situ.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan dan seterusnya mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Arahan penutupan ini melibatkan 113 gerai peniaga di Pasar Pulau Tikus yang berniaga dari pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari.
“Turut terlibat dengan penutupan ini ialah 34 gerai TPS yang beroperasi dari 4 petang hingga 11 malam,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, MBPP meminta para peniaga mematuhi arahan penutupan itu dan sesiapa yang melanggar arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan seperti pembatalan lesen dan penutupan premis.
“Orang ramai juga diminta mematuhi arahan ini serta mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19 terutama menerusi komuniti.
“Persatuan-persatuan pasar dan kompleks makanan majlis juga perlu memastikan kawalan pengunjung ke setiap premis di bawah seliaan MBPP,”katanya.
Tambahnya, mereka yang berstatus risiko tinggi di dalam aplikasi MySejahtera juga tidak dibenarkan untuk memasuki premis dan kompleks makanan di bawah MBPP. -UTUSAN ONLINE










