KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 (Akta 830) dibentang Kementerian Kewangan untuk bacaan kali pertama.
Ia dibentangkan di Dewan Rakyat Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah.
Pindaan RUU itu bertujuan menaikkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kenaikan itu juga adalah susulan keperluan dana untuk membiayai tambahan kepada jumlah amaun Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.
Dari segi implikasi kewangan, RUU itu akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan kerajaan sebanyak RM45 bilion.
14 September lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan cadangan membentangkan pindaan akta tersebut telah diluluskan oleh Majlis Jemaah Menteri pada 10 September 2021.
Ia bertujuan bagi mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan pandemik Covid-19 serta merawat pesakit Covid-19.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi menambah baik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro. -UTUSAN ONLINE










