KOTA KINABALU: Kenaikan harga barangan tanpa kawalan kerajaan sejak kebelakangan ini memberi ruang kepada manipulasi harga berlaku di pasaran.
Maka, sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan siasatan terhadap sebarang bentuk pakatan (kartel) bagi mencegah sebarang manipulasi dan kenaikan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Itu saranan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagi menstabilkan semula harga barangan di negara ini.
Kenaikan harga ikan dan ayam sehingga 30 peratus amat membimbangkan kerana kedua-duanya merupakan sumber makanan utama kebanyakan rakyat di negara ini.
Pada bulan Jun lalu, rakyat dibebankan dengan kenaikan mendadak harga minyak masak yang mencapai RM35 sebotol bagi minyak seberat lima kilogram.
Malah, difahamkan kerajaan sedang membuat rundingan dengan pihak pengeluar untuk menetapkan harga maksima bagi produk ayam dan ikan yang mengalami peningkatan harga yang begitu ketara. Pendekatan ini merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh kerajaan setiap kali berdepan dengan kenaikan harga barang.
“Justeru itu, saya berpandangan agar mana-mana pihak yang didapati mengawal ataupun memanipulasi harga barangan keperluan asas ini dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712] iaitu bagi melarang sebarang bentuk pakatan yang bersifat anti-persaingan.
“Penggunaan undang-undang sebegini sekaligus boleh menstabilkan harga pasaran dan langkah ini turut digunakan di kebanyakan negara.
“Tindakan pengkuatkuasaan dan denda yang tinggi memberikan satu bentuk peringatan kepada semua pengeluar dan peruncit makanan dan barangan agar sentiasa patuh dengan undang-undang anti-persaingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shafie berkata, sebarang bentuk manipulasi akan mengganggu gugat kestabilan harga barangan di pasaran.
Ahli Parlimen Semporna ini berkata, kerajaan juga perlu membuat lebih banyak tadbir urus dan konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti peruncit yang berdepan dengan bebanan sewa premis yang meningkat dan ini akan menyebabkan peniaga terpaksa memindahkan kos kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan kerajaan untuk memperkukuhkan kuasa beli rakyat berikutan kadar inflasi belian pengguna menunjukkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus bagi tempoh sepuluh tahun kebelakang.
Jelas beliau, trend ini amat membimbangkan. Maka, tindakan segera perlu diambil agar inflasi dapat dikawal sewajarnya. -UTUSAN ONLINE