Padang Terap capai 100 peratus vaksinasi - Utusan Malaysia

Padang Terap capai 100 peratus vaksinasi

Daerah Padang Terap menjadi daerah pertama di Kedah mencapai 100 peratus pemberian vaksin. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pemberian vaksin Covid-19 di daerah ini berjaya mencapai 100 peratus merangkumi suntikan dos pertama semalam.

Kejayaan tersebut menjadikan daerah ini sebagai daerah pertama di Kedah mencapai 100 peratus pemberian vaksin.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md. Shuhaime Abd. Rahman berkata, kesemua  49,400 penduduk di daerah ini yang berkelayakan menerima suntikan vaksin telah mendapat vaksinasi dos pertama yang diadakan sejak 1 Mac lalu.

Sementara itu, menurutnya, setakat semalam, seramai 28,348 atau 57.4 peratus penduduk telah lengkap menerima dua dos.

“Menjelang awal Oktober ini, Padang Terap dijangka mencapai 80 peratus dos kedua bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pelbagai kaedah dilaksanakan bagi mempercepatkan vaksinasi di daerah ini seperti Unit Bergerak Vaksinasi yang menyasarkan golongan warga emas.

“Kami juga melaksanakan Program Vaksinasi Secara Pandu Lalu serta pusat-pusat pemberian vaksinasi di Dewan Tunku Putra, Naka dan Lubuk Merbau, selain kerjasama dengan beberapa klinik swasta yang lain,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya juga sedang menunggu arahan dari kerajaan negeri untuk mula memberi suntikan vaksinasi pada remaja umur 16 dan 17 tahun.

“Diharapkan jika proses vaksinasi remaja di segerakan mereka dapat kembali bersekolah secara bersemuka dengan selesa dan penduduk juga dapat bergerak menyelesaikan urusan tanpa perlu rasa bimbang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN