KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mampu menjernihkan seketika krisis politik yang berlaku di negara ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerjasama melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu akan membawa keamanan dalam negara dan seterusnya membolehkan kerajaan memberi fokus untuk berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, beliau tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh maka, kerjasama ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk bergerak dengan lebih efektif.
Timbalan Ketua Menteri ini berkata, kerjasama antara kerajaan dan PH ini bukan sahaja akan membawa kebaikan terhadap politik malah, akan membantu dalam aspek pemulihan negara pasca Covid-19.
Menteri Kerja Raya ini berkata, kerjasama dwi-partisan yang kukuh dan mantap ini akan menjulang konsep Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kita yakin MoU yang dimeterai ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan ini berkata, UMNO Sabah menyifatkan kerjasama antara kerajaan pusat dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan dengan masalah kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang positif.
Tambah beliau, walaupun kerjasama ini bersifat sementara namun, blok pembangkang tetap bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat dan pandangan mereka akan diambil kira oleh kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
“Perundingan ini dibuat demi kepentingan negara dan rakyat kerana sebaik sahaja proses vaksinasi selesai maka, kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang menawarkan tujuh tranformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.- UTUSAN ONLINE










