MOSTI belanjakan RM60 juta bangunkan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

MOSTI belanjakan RM60 juta bangunkan vaksin Covid-19

AHMAD Amzad Hashim merasmikan Program Vaksinasi Covid-19 Sempena Hari Malaysia 2021 di Pantai Senok, Bachok hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan kira-kira RM60 juta untuk membiayai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap bekalan vaksin dari luar. 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setakat ini lebih RM54 juta dilaburkan kepada Institut Genom Malaysia (MGI) manakala baki RM5 juta lagi diperuntukkan kepada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, kumpulan pengkaji pembangunan vaksin tempatan itu kini sedang giat menjalankan kajian terhadap kuman yang dinyahaktif dengan menggunakan teknologi messenger asid ribonukleik (mRNA). 

“Setakat ini kerajaan membelanjakan lebih daripada RM4 bilion untuk membeli vaksin dari luar negara dan ia sangat merugikan jika Malaysia hanya menjadi pembeli vaksin sahaja.

“MOSTI dipertanggungjawabkan dalam usaha ini yang diharap dapat menjadi Malaysia sebagai antara negara pengeluar dan pengimport vaksin Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Program Vaksinasi Covid-19 Sempena Hari Malaysia 2021 di Pantai Senok di sini hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mohamood. 

Kata Ahmad Amzad lagi, usaha Malaysia amat berbaloi biarpun dijangka mengambil masa dua hingga lima tahun akan datang, memandangkan pasaran vaksin Covid-19 dalam kalangan negara-negara Islam amat besar.

“Masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin Covid-19 dikeluarkan oleh sebuah negara Islam. Sebab itu usaha ini turut melibatkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN