Menyamar jadi nelayan tempatan sambil curi hasil laut negara - Utusan Malaysia

Menyamar jadi nelayan tempatan sambil curi hasil laut negara

SYED Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata sesuatu kepada nelayan Vietnam yang ditahan di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Pasir Puteh hari ini. - UTUSAN/SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Sekali pandang, tiada apa yang pelik pada sebuah bot nelayan ‘tempatan’ kerana segalanya nampak normal termasuk rupa bentuk, warna dan nombor pendaftaran yang dicat pada badannya.

 

Bagaimanapun, bot dari Vietnam itu gagal mengaburi mata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan ketika dikesan mencuri hasil laut negara menggunakan pukat tunda di lokasi 83.3 kilometer dari Kuala Tok Bali, pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

 

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, dalam operasi itu, tujuh awak-awak dan seorang tekong berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun ditahan ketika mereka leka menangkap ikan.

 

Katanya, ketika dihampiri, mereka tidak sempat meloloskan diri kerana perlu mendaratkan pukat tunda naik ke atas bot dulu, membolehkan anggota Maritim Malaysia memintas untuk pemeriksaan lanjut.

 

“Tekong bot menunjukkan permit menangkap ikan yang disyaki palsu. Siasatan lanjut mendapati kesemua mereka warga Vietnam dengan tujuh daripada mereka memiliki pasport. Hanya seorang tiada pengenalan diri.

 

“Mereka mengecat nombor pendaftaran nelayan Terengganu pada badan bot, namun, kita masih berjaya menemui kesan cat nombor pendaftaran Vietnam pada bot,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

 

Syed Nor Adli berkata, rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM1.5 juta merangkumi nilai sebuah bot bersama peralatan menangkap ikan, 500 kilogram ikan dan 4,000 liter minyak diesel.

 

Setakat ini tambah beliau, tiga kes dikesan menggunakan taktik sama iaitu mengaburi mata pihak berkuasa menggunakan nombor pendaftaran palsu dan proses ubah suai cat pada badan itu dipercayai dibuat di tengah-tengah laut.

 

“Maritim Malaysia mengesyaki wujudnya sindiket memalsukan dokumen atau tindakan pemilik bot menjual lesen bot mereka secara tidak sah kepada warga Vietnam.

 

“Pasukan penyiasat akan menjalankan risikan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Putrajaya untuk mencekup anggota sindiket yang dipercayai menjual dokumen palsu ini,” katanya.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran yang sah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya