IPOH: Penjaja serta peniaga kecil dan pasar awam yang berlesen di bawah Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) boleh memohon bantuan bayaran sekali bayar atau one off sebanyak RM300 bermula hari ini.
MBI dalam kenyataan memaklumkan, pemberian bantuan khas itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
“Semua kategori penjaja, peniaga kecil dan pasar awam yang berlesen dengan MBI layak memohon.
“Mereka boleh mengemukakan permohonan atau dokumen yang diperlukan mulai hari ini,” katanya.
Menurut MBI, semua penjaja dan peniaga kecil serta pasar malam boleh memohon secara atas talian, kaunter pandu lalu MBI atau talian WhatsApp.
Katanya, mereka boleh melayari talian https://d.mbi.gov.my/penjaja/?borang/ban_borangban dan memuat turun borang permohonan dengan menyertakan salinan kad pengenalan dan penyata atau buku bank.
“Penjaja dan peniaga kecil juga boleh menyerahkan salinan kad pengenalan dan penyata atau akuan bank di kaunter pandu lalu permit pandu lalu (PPS) setiap Khamis bermula pukul 9 pagi sehingga 2 petang,” katanya.
Menurutnya, penjaja dan peniaga kecil juga boleh mengemukakan salinan kad pengenalan dan penyata atau buku bank melalui WhatsApp di nombor 011-56769612. – UTUSAN ONLINE