Masjid Putra mohon maaf isu video tular - Utusan Malaysia

Masjid Putra mohon maaf isu video tular

MASJID PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pengurusan Masjid Putra memohon maaf sekiranya wujud kekeliruan susulan penyebaran video tular kononnya timbul layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di masjid itu di sini semalam.

Menurutnya, segala tindakan pihak pengurusan masjid dibuat berdasarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan pihak berkuasa. 

“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid. 

“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pihaknya juga tidak menafikan bahawa Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak pukul 11 pagi bagi menunaikan solat Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, pihak masjid sudah memaklumkan dan menasihatkan jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

Pada masa sama, katanya, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

Justeru, katanya, pihaknya bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi.

“Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra,” katanya.

Semalam, seorang netizen berkongsi rakaman video yang mempertikaikan tindakan pihak Masjid Putra kerana hanya membenarkan individu kenamaan masuk menunaikan solat Jumaat sedangkan jemaah lain tidak dibenarkan masuk.

Video itu kemudian tular di pelbagai sosial yang kemudiannya menerima reaksi pelbagai daripada warga maya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN