Malaysia hasilkan vaksin Covid-19 tiga tahun lagi - Utusan Malaysia

Malaysia hasilkan vaksin Covid-19 tiga tahun lagi

DR. ADHAM Baba ketika melawat Ruang Reka Taman Rasa Sayang di Senawang, Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan Malaysia dapat menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri yang pertama dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. 

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penghasilan vaksin itu sangat penting terutama untuk negara ini mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular pada masa depan.

 

“Ia dalam proses mengumpulkan data dan akan menjadi keutamaan kementerian. Kami telah berusaha mendapatkan kolaborasi dengan beberapa syarikat dari luar negara untuk pembinaan fasiliti untuk tujuan tersebut.

 

“Kami juga mempunyai keupayaan untuk membangunkan Pusat Institut Vaksin Kebangsaan dan ia memerlukan masa dan sedang dibangunkan. 

 

Kini, kita bukan sahaja bercakap tentang vaksin Covid-19, namun, sedang juga membangunkan vaksin lain yang boleh melindungi masyarakat kerana tidak tahu lagi apa jenis wabak yang akan datang dan jenis keupayaan membina vaksin ada dalam negara ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ruang Reka (Hab Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi), Taman Rasa Sayang, Senawang di sini hari ini.

 

Tambah Dr. Adham, setiap vaksin yang dibangunkan nanti perlu memenuhi syarat diperlukan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

“NPRA juga akan membantu merancang keperluan dalam pelbagai platform dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi,” katanya lagi.

 

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan Program Ruang Reka Komuniti yang merupakan salah satu inisiatif pembangunan usahawan inovasi bagi mengggalakkan penglibatan lebih ramai individu dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana.

 

Ia dikendalikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan aspirasi menyemai dan membudayakan inovasi yang telah menggerakkan pelbagai inisiatif ke seluruh Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersilan. 

“Saya berharap masyarakat dapat menggunakan Program Ruang Reka Komuniti ini secara maksimum dalam membudayakan kreativiti serta inovasi di peringkat akar umbi.

 

“Sehingga kini, sebanyak dua projek rintis Program Ruang Reka Komuniti iaitu di Taman Rasa Sayang, Senawang manakala satu lagi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di Kuala Terengganu, Terengganu” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN