Malaysia bebas wabak polio - Utusan Malaysia

Malaysia bebas wabak polio

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Susulan penemuan kes polio pertama selepas 27 tahun negara bebas dari wabak itu pada penghujung tahun 2019, kini ia diisytiharkan tamat selepas pelbagai usaha drastik dilakukan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengisytiharan itu dibuat Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura dalam perutusan rasminya kepada Kementerian Kesihatan hari ini. 

Katanya, pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan negara ini. 

“Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak polio diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio yang merupakan penyakit berjangkit menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat, malah menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

“Penemuan itu berlaku pada penghujung tahun 2019, apabila Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio di Malaysia. Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara yang mana, AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sepanjang aktiviti survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio. 

Katanya, dari 1 Januari 2019 hingga 9 September lalu, sebanyak 426 kes AFP dilaporkan di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, empat kes disahkan polio, kesemuanya dilaporkan di Sabah, melibatkan masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio. 

“Kes terakhir mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari 2020. Siasatan yang dilakukan mendapati semua kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio. 

“Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menjalankan persampelan air kumbahan bagi mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran bermula 1 Januari 2019 hingga 9 September lalu dengan 1,124 sampel air kumbahan telah diambil di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, virus polio dikesan dalam 25 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah serta satu sampel air kumbahan yang diambil di Labuan manakala sampel persekitaran positif yang terakhir dikesan virus polio adalah pada 1 Julai lalu,” katanya. 

Mengulas mengenai tindakan pencegahan wabak polio berulang, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio. 

Katanya, ia dilaksanakan secara berperingkat semenjak 27 Disember 2019 sehingga 20 Januari tahun ini, melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah.

“Sebanyak dua dos vaksin bivalent oral polio jenis satu dan tiga (bOPV) dan dua dos vaksin monovalent oral polio jenis 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut. Melalui kempen imunisasi polio ini, seramai 809,261 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 784,062 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin mOPV2.

“Bagi Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) yang dijalankan dari 11 Jun 2020 hingga 6 November 2020 melibatkan pemberian dua dos vaksin bivalent oral polio type satu dan tiga (bOPV) dengan menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Labuan melibatkan seramai 24,297 orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin bOPV,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN