Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri dibentuk - Utusan Malaysia

Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri dibentuk

SAIFUDDIN Abdullah ketika dalam sidang akhbar sulung sejurus melaporkan diri di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar bakal mewujudkan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang disertai 15 anggota panel dengan mesyuarat pertamanya diadakan pada Jumaat ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, majlis itu akan dipengerusikan beliau sendiri dengan dianggotai pegawai Wisma Putra, tokoh akademik, perniagaan dan wakil masyarakat.

“Mereka ini akan menasihati saya namun kita guna pendekatan terbuka serta perundingan atau syura dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dari dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar sulung sejurus selepas melaporkan diri di Wisma Putra di sini hari ini setelah dilantik menerajui kementerian itu dengan timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar.

Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia dari Indera Mahkota di Pahang itu pernah juga memegang portfolio itu dari 2018 sehingga 2020 lalu semasa era kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia itu kemudian berpindah pula sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika tempoh 17 bulan pentadbiran Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau juga akan mencadangkan kepada jemaah Kabinet untuk pembentukan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa di Parlimen.

“Sebenarnya dasar luar tetap pun sama tidak kira siapa yang jadi kerajaan namun, tema saya pada kali ini ialah ‘tumpuan dalam kesinambungan’ selaras imej baharu negara,” katanya.

Langkah itu jelas beliau, bersesuaian dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk keberhasilan 100 hari pertama setiap menteri yang dilantik dalam Kabinet.

Justeru, antara tindakan awal beliau ialah menggubal kerangka Dasar Luar Negeri sebagai panduan dan hala tuju pendekatan kerajaan, tetapi ia pula bukannya satu polisi yang baharu termasuk hubungan baik dengan semua pihak selain tumpuan diplomasi kesihatan untuk menangani wabak Covid-19 selain fokus pelaburan ekonomi digital dan pembangunan lestari.

Beliau memberi contoh dalam isu krisis politik di Myanmar dan konflik tentera di Laut China Selatan, Malaysia akan memastikan isu kedaulatan dan kemanusiaan bergerak tanpa kompromi.

“Majlis yang dibentuk itu bebas bawa apa sahaja isu tetapi prinsip negara tetap dipertahan,” katanya ketika ditanya apakah soal normalisasi dengan rejim Israel juga akan dibincangkan.

Menyentuh hubungan Malaysia dengan jiran serantau, Saifuddin yakin jalinan sedia ada kekal kukuh, malah pemimpin negara terbabit antara terawal menghubungi Ismail Sabri sendiri sekali gus berharap pelbagai isu panas contohnya melibatkan Singapura yang sering dianggap bermasalah, dapat ditangani dengan baik antara kedua-dua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya