NAFAS umum kadar dividen 8% bagi SPKP, DPK - Utusan Malaysia

NAFAS umum kadar dividen 8% bagi SPKP, DPK

RONALD Kiandee (dua kiri) mengumumkan agihan dividen SPKP, DPK di Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen lapan peratus bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dividen itu akan diagihkan kepada 5,323 entiti pelabur termasuk ahli-ahli peladang yang berdaftar.

Beliau berkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta tahun lalu dengan keseluruhan nilai agihan dividen adalah berjumlah RM7.6 juta.

“Buat masa ini, dana terkumpul bagi DPK adalah berjumlah RM220 juta yang dilaburkan dalam pelbagai projek pelaburan berpotensi tinggi dalam negara.

“Sejak lima tahun lalu, DPK memberi pulangan dividen kompetitif dengan kadar purata 8.8 peratus selain margin keuntungan melebihi 80 peratus,” katanya dalam Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP, DPN 2020 di sini, hari ini.

Katanya, MAFI merakamkan tahniah kepada NAFAS atas prestasi cemerlang bagi tahun lalu sekali gus dapat memberi kadar dividen kompetitif kepada pelabur SPKP, DPK. 

Ronald berkata, NAFAS akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan memberangsangkan kepada ahli-ahlinya biarpun berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, beliau juga berharap prestasi ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya sekali gus mendorong lebih ramai pelabur menyertai dana pelaburan itu.

“Kita ada satu juta ahli pertubuhan peladang di seluruh negara. Kita berharap prestasi DPN ini dapat memberi faktor penggalak untuk peladang melabur dalam DPK.

“Pertubuhan peladang juga digalakkan menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberikan manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya,” katanya.

Katanya, pihaknya akui setiap dana pelaburan mengalami penyusutan akibat pandemik Covid-19 namun, kadar agihan purata lapan peratus berjaya dikekalkan tahun lalu.

Tujuan utama DPK adalah bagi menyediakan perkhidmatan kewangan kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan hampir sejuta ahli peladang berdaftar di seluruh negara. 

DPK telah membiayai beberapa projek stesen minyak antaranya Petronas dan Petron selain turut membiayai projek-projek tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian serta modal pusingan ternakan ayam. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN