KUALA TERENGGANU: Lima daripada 10 premis farmasi dan klinik di negeri ini dikesan mematuhi harga RM19.90 bagi penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri pada hari pertama pelaksanaan harga runcit maksimum barangan berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada jumlah itu, tiga premis adalah di Kuala Nerus diikuti masing-masing satu di Pasir Raja, Besut dan Paka, Dungun.
Katanya, dalam tempoh seminggu ini pihak KPDHEP masih lagi memberikan kelonggaran kepada para peniaga bagi membuat penyesuaian dan penyelarasan harga.
“Kita menyeru semua peniaga mematuhi kawalan harga yang ditetapkan bagi memastikan alat ini dapat dibeli pada harga mampu milik oleh semua pengguna.
“Bagaimanapun, bermula 12 September ini tiada lagi kelonggaran diberikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang ingkar mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
KPDNHEP memutuskan harga runcit maksimum bagi kit RTK antigen secara kendiri di pasaran tempatan adalah sebanyak RM19.90 seunit berkuat kuasa hari ini.
Penetapan harga maksimum ini dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini.
Saharuddin berkata, jika sabit kesalahan peniaga yang ikar boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. -UTUSAN ONLINE