[Laporan Parlimen] Tiada bukti ada pembalakan di Jerai - Utusan Malaysia

[Laporan Parlimen] Tiada bukti ada pembalakan di Jerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa tiada bukti bahawa tragedi dan bencana yang berlaku di Gunung Jerai adalah kesan daripada pembalakan hutan.

Beliau berkata, Gunung Jerai telah diisytihar sebagai National Geopark pada 2018 dan atas status itu, sebarang aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan di kawasan itu.

“Gunung Jerai terletak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda yang berkeluasan 106,000 hektar yang mana 12 peratus iaitu 12,720 hektar merupakan kawasan perlindungan tadahan hutan yang boleh diusaha hasil.

“Namun saya mendapat pengesahan daripada kerajaan Negeri Kedah, bahawa ia diputuskan untuk tidak diberikan lesen usaha hasil walaupun sejak 2014 hingga 2019 sebanyak 25,000 hektar (ha) telah diluluskan lesen untuk membalak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini, tetapi di Ulu Muda tidak dibalak langsung,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga melihat sendiri kawasan Gunung Jerai dan mendapati tiada kesan pembalakan di kawasan tersebut.

“Saya lihat pokok-pokok yang dibawa turun kepala air bersekali dengan akar-akarnya menunjukkan tidak ada pembalakan di kawasan Jerai, inilah disebut takdir Allah.

“Jadi kita akan melaksanakan program restorasi kawasan hutan terosot termasuk di Gunung Jerai dengan peruntukan RM75 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk projek restorasi,” katanya.

SABRI AZIT

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung tindakan kementerian untuk melestarikan hutan di sepanjang jalan menuju ke puncak Gunung Jerai kerana menyifatkan kesan kepala air baru-baru ini menyebabkan kawasan itu masih dalam keadaan tidak selamat.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN