[Laporan Parlimen] Lebih 4,000 kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

[Laporan Parlimen] Lebih 4,000 kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19

RINA MOHD. HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 4,422 murid sekolah telah kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19 setakat 13 September 2021.

Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, statistik itu diambil daripada Kementerian Pendidikan, dengan seramai 154 kanak-kanak yang menjadi yatim piatu apabila kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat pandemik Covid-19.

“Justeru, kita telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah bagi memberi bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak seperti pemberian bantuan kewangan, tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak.

“Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak dan bantuan pesakit terlantar dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkan kanak-kanak berusia bawah 7 tahun layak menerima RM200 seorang manakala kanak-kanak 7 tahun ke atas memperoleh RM150 seorang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, kadar bantuan maksima juga dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa.

“Kanak-kanak juga boleh ditempatkan di tujuh buah institusi JKM mengikut zon sekiranya tidak ada waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka, jadi mereka diambil atas perintah sementara melalui mahkamah dan diletak sama ada keluarga ganti, atau orang layak dan sesuai atau institusi tempat selamat,” katanya.

Pada masa sama, Rina berkata, pihak kementerian juga menjalankan kerjasama dengan ahli komuniti setempat, ketua kampung, sukarelawan dan pasukan pelindung kanak-kanak serta Komuniti Rukun Tetangga (KRT) untuk memberi bantuan dan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Pelantikan dibuat sebanyak 140 buah pasukan pelindung kanak-kanak merangkumi 983 ahli pasukan pelindung bagi sesi 2021 hingga 2023,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang menyelaras semua data bersama kementerian-kementerian melibatkan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat Covid-19.

“Kita mengakui kita bukan hanya bergantung kepada data di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja tapi juga merentasi kementerian lain. Kerana itu, kita mengadakan satu perbincangan dan mesyuarat untuk integrasikan data-data yang ada.

“Kita juga adakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya kita dapat integrasikan data meliputi kementerian lain. Ia perlu diintegrasikan supaya tiada kanak-kanak tercicir atau tertinggal dalam memberi pembelaan kepada mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) berhubung statistik jumlah kanak-kanak yang telah menjadi anak yatim akibat Covid-19 dan langkah Kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN