KUANTAN: Syarikat swasta, KTK Dom Railway Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Wanita Bersepadu Kuantan menyumbangkan 500 bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk di Indera Mahkota di sini yang terkesan ekoran penularan wabak Covid-19.
Pengerusi syarikat berkenaan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata, sumbangan barangan keperluan harian itu membabitkan peruntukan RM25,000.
“Kita akui ramai yang terkesan dengan pandemik ini dan pihak syarikat cuba membantu meringankan beban mereka dengan menyalurkan sedikit sumbangan.
“Sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat dalam membantu mereka memerlukan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 20 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Raya Balok di sini, semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Wanita Bersepadu Kuantan, Datuk Zaiton Mat dan Pengerusi Kelab Mamanita Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusof.
Wan Adnan berkata, selain bakul makanan, pihaknya turut menyumbang alat teknologi seperti komputer riba dan tablet kepada pelajar kurang berkemampuan untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau berkata, sebanyak RM6,000 diperuntukkan bagi membeli alatan teknologi berkenaan untuk disumbangkan kepada pelajar memerlukan.
“Kita berharap bantuan ini dapat mengurangkan keadaan yang tertekan bagi keluarga yang terjejas ekoran pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Wan Napiah berterima kasih kepada syarikat berkenaan kerana memberikan sumbangan bakul makanan dan peralatan PdPR.
“Sumbangan ini tentunya dapat meringankan beban keluarga yang terkesan akibat Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE