KPDNHEP Melaka keluar 4 notis kepada pengilang, pengimport ayam - Utusan Malaysia

KPDNHEP Melaka keluar 4 notis kepada pengilang, pengimport ayam

ISMAIL Othman (dua dari kiri) memeriksa harga ayam sambil disaksikan Norena Jaafar (kiri) ketika pemantauan KPDNHEP Melaka di sebuah pasar raya di Peringgit, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri akan mengeluarkan notis kepada tiga pengilang dan satu pengimport berhubung rungutan kenaikan harga ayam, sejak minggu lalu. 

 

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, notis tersebut akan diberikan pada minggu ini dan pihak terbabit perlu mengemukakan dokumen berkaitan kos pengoperasian serta jualan sejak tiga tahun lalu. 

 

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi mengesan punca kenaikan harga ayam sama ada bermula daripada peringkat ladang, rantaian (pengilang) atau peruncit. 

 

“KPDNHEP akan mengeluarkan empat notis, masing-masing tiga kepada pengilang dan satu pengimport untuk mengesan dari awal sekiranya berlaku kenaikan harga ayam seperti yang dirungutkan pengguna. 

 

“Mereka yang terlibat akan diberikan tempoh selama tiga hari untuk mengemukakan dokumen pengesahan maklumat barangan atau perkhidmatan dan notis bertulis di bawah 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya di Peringgit di sini hari ini. 

 

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan menggerakkan lima pasukan terdiri daripada 30 penguat kuasa untuk menyiasat rungutan tersebut. 

 

“Kita akan menyiasat di 13 lokasi dikenal pasti pada minggu ini untuk membandingkan harga yang dikenakan di setiap peringkat rantaian jualan ayam daripada penternak, peladang, pembekal dan peruncit sebelum sampai ke pengguna. 

 

“Kemungkinan harga ayam naik disebabkan ada peniaga mengambil kesempatan terhadap bekalan terbabit berikutan pertukaran fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan pelanggan makan di kedai,” jelasnya.

 

Tambahnya, setakat ini, hasil pemantauan dilakukan mendapati, harga ayam termurah adalah RM5.99 sekilogram (kg) dan paling tertinggi ialah RM9.80. 

 

Dalam pada itu, beliau menambah, KPDNHEP Melaka sedang merangka kaedah penjualan ayam secara terus daripada penjual kepada pembeli tanpa menggunakan orang tengah.  

 

“Kita tidak mahu membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak, apa yang kita boleh buat adalah operasi ketat selama seminggu sehingga Ahad ini dan melaksanakan langkah-langkah mengesan punca kenaikan,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN