Kongsi nombor TAC, guru tuisyen rugi RM57,850 - Utusan Malaysia

Kongsi nombor TAC, guru tuisyen rugi RM57,850

MAHIDISHAM ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Gara-gara mendedahkan maklumat akaun bank serta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada individu menyamar sebagai pegawai bank, seorang guru tuisyen kerugian RM57,850.

 

Dalam kejadian 24 September lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa berhubung kejadian. 

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa berusia 57 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan pengesahan mengenai pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800 pada 22 September lalu.

 

“Mangsa menafikan membuat pembelian itu dan menghubungi individu kononnya dikatakan sebagai pegawai bank melalui satu nombor telefon yang diberikan dalam mesej berkenaan.

 

“Pegawai bank yang dihubungi mangsa kemudian meminta pengadu untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan TAC kepadanya.

 

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menuruti arahan daripada pegawai bank terbabit yang kononnya mahu maklumat berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut oleh pihak bank,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, kata Mohd Mahidisham, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila terdapat transaksi pindahan wang dari akaun miliknya kepada tiga akaun pihak ketiga dan pindahan kepada akaun e-wallet Touch n Go berjumlah RM57,850.

 

Kata beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

 

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank.

 

“Tindakan memberikan maklumat perbankan dan TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah.

 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN