Kesungguhan PM teliti MA63 berita baik kepada Sabah - Utusan Malaysia

Kesungguhan PM teliti MA63 berita baik kepada Sabah

JONISTON BANGKUAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan jaminan meneliti dan menyelesaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai bukti kesungguhan Perdana Menteri memenuhi keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, peruntukan pembangunan berjumlah RM4.66 bilion kepada Sabah yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Malaysia semalam, mencerminkan bahawa Perdana Menteri itu memahami keperluan Sabah dan Sarawak.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata, Ismail Sabri turut memberi jaminan untuk terus menumpukan perhatian terhadap keperluan dan hak rakyat Sabah dan Sarawak.

Malah, beliau (Ismail Sabri) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu-isu MA63 yang tertunggak melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu sendiri.

“MKMA63 turut membabitkan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta lapan menteri Persekutuan dan majlis khas ini ditubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengkaji, meneliti dan mencari jalan penyelesaian terhadap tuntutan dan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Isu mengenai tuntutan MA63 bukanlah perkara baharu. Sebenarnya, ia merupakan perjuangan utama PBS sejak ditubuhkan 36 tahun yang lalu dan Perdana Menteri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Joniston berkata, pemimpin Sabah dan Sarawak mahukan jaminan agar pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi menuntut status sama rata dan mengkaji semula pemberian geran khas dapat diberikan perhatian.

Beliau juga bersetuju dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mahukan isu MA63 yang belum diselesaikan dapat diberi perhatian dengan serius.

“Malah, kami yakin dengan pengalaman dan pengetahuan Presiden PBS selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), beliau akan memastikan apa yang termaktub dalam MA63 dapat dimuktamadkan,” katanya.

Tambah beliau, peruntuka pembangunan RM4.66 bilion kepada Sabah itu akan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Peruntukan RM3.61 bilion kepada Sabah melalui Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA) akan meningkatkan lagi akses internet di wilayah yang berhadapan dengan masalah capaian internet yang lemah ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya