[PARLIMEN] Keselamatan PM, imej negara antara faktor utama ubah suai Seri Perdana - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Keselamatan PM, imej negara antara faktor utama ubah suai Seri Perdana

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerja pengubahsuaian dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu juga, kos yang dikatakan menelan belanja sehingga RM30 juta itu turut membuat pengubahsuaian terhadap imej dalam menyambut tetamu utama negara.

Jelas Ismail Sabri, status pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri itu kini mencapai tahap 60 peratus setakat 31 Ogos lalu.

“Pengubahsuaian dan naik taraf kediaman ini perlu dilaksanakan mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri.

“Ini juga adalah untuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara di program rasmi Perdana Menteri,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) meminta Perdana Menteri menyatakan status projek berkenaan yang didakwa membabitkan kos sebanyak RM30 juta serta justifikasi projek terbabit.

Tambah Perdana Menteri itu lagi, pengubahsuaian tersebut termasuklah kerja pendawaian elektrik dan mekanikal, penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal serta sistem pendingin hawa.

Selain itu, kos tersebut turut membabitkan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi serta penggantian perabot yang uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN