Kerajaan Sabah tolak RUU halang kebebasan beragama - Utusan Malaysia

Kerajaan Sabah tolak RUU halang kebebasan beragama

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menolak cadangan memperkenal akta yang akan menghalang kebebasan beragama di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah tidak menyokong cadangan kerajaan Persekutuan memperkenalkan Akta kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam yang merupakan salah satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.

Beliau berkata, Sabah berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama.

“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah. Kepelbagaian kaum dan agama menjadi tonggak perpaduan rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah peringkat persekutuan mencadangkan empat akta baharu iaitu RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan terhadap Pengembangan Agama Bukan Islam.

Dalam pada itu, Hajiji juga mahu Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (Mers) 999 diubah bagi membolehkan pasukan keselamatan bertindak lebih pantas apabila berlaku kecemasan.

Ia susulan kejadian yang menimpa empat sekeluarga yang rentung dalam kebakaran yang berlaku di Taman Hungab, Penampang pada Selasa.

Jelas beliau, kes kecemasan seperti kebakaran tidak seharusnya dirujuk ke Kuala Lumpur kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan mangsa.

“Sepatutnya, apabila tahu panggilan adalah dari Sabah, ia perlu disambungkan kepada pihak berkaitan seperti balai bomba daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.

“Tidak perlulah bertanya banyak soalan kerana setiap panggilan ke MERS 999 sudah pasti membabitkan hal kecemasan,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) dalam Mers 999 boleh diubah dan dipermudahkan termasuk terus sambung panggilan itu ke daerah dan negeri yang berkaitan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN