Kerajaan negeri bantu kerajaan pertingkat taraf hidup luar bandar - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri bantu kerajaan pertingkat taraf hidup luar bandar

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penekanan terhadap pembangunan luar bandar menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) disambut baik.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penekanan itu adalah tepat pada masanya supaya kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai soal luar bandar, saya ingin menyatakan bahawa Perdana Menteri membuat pembentangan yang sangat komprehensif untuk RMK12.

“Dalam pembentangannya, beliau memberi keutamaan berkaitan pembangunan luar bandar seperti pendigitalan, peluang pekerjaan dan perubahan iklim,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Antara yang menjadi fokus dalam pembangunan masyarakat luar bandar adalah merapatkan jurang digital dengan menaik taraf Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

Dalam hal ini, jelas Mahdzir lagi, ia membolehkan pelbagai latihan kemahiran dapat dilaksanakan selain memperkenalkan perkhidmatan e-dagang di kawasan luar bandar.

“Saya amat mengalu-alukan program ini kerana kita tahu tidak semua tempat mempunyai capaian internet berkelajuan 100 megabait sesaat (Mbps).

“Kebanyakan kawasan di kampung berada pada paras 20 hingga 30 Mbps sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir turut berkata segala usaha ini memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri kerana terdapat beberapa projek tertentu yang memerlukan kelulusan daripada pihak berkenaan.

“Kita perlu ada ‘taskforce’ yang mencukupi untuk bergerak. Kita ambil projek bekalan air luar bandar sebagai contoh, jika melalui proses normal, mungkin akan lambat (pelaksanaan projek).

“Sebab itu kerajaan Pusat perlu juga berunding dengan kerajaan negeri kerana ada projek tertentu yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri. Ini bermakna kerajaan negeri pun kena bantu untuk memastikan projek terbabit berjalan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN