MELAKA: “Jika ada kudrat, saya ingin terus berbakti kepada negara”, demikian luahan bekas anggota tentera Rejimen 511 Askar Wataniah di Kem Keria, Kompleks Kuching, Sarawak, Isa Abd. Salam.
Sejak bersara, Isa, 55, berkata, dia tidak senang duduk di rumah kerana masih teringat pengalaman menjalankan operasi di markas pengganas komunis di Gubir, Kedah.
“Setiap kali tibanya sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya sering terkenang sewaktu berkhidmat mempertahankan negara.
“Dulu tidak seperti sekarang, pahit maung dilalui mana-mana bekas tentera yang berkhidmat di setiap pelosok negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isa merupakan salah seorang daripada 60 bekas tentera yang dirai dalam satu majlis ringkas dan penyampaian bakul makanan sempena sambutan Hari ATM ke-88 di Baitul Tariq, Klebang Permai dekat sini.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah dan Timbalan Pengerusi Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Sungai Udang, Mustajab Haron.
Dalam pada itu, bagi bekas anggota komando Kem Sungai Udang, Ahmad Abdul Jamin, 62, dia juga tidak akan sekali-kali melupakan detik-detik sewaktu menjalankan operasi di Gubir.
Katanya, Gubir merupakan kawasan yang sering berlaku pertempuran dan serangan hendap oleh komunis.
“Sewaktu saya menjalankan operasi di situ memang cukup menggerunkan dan apabila menjelang malam kami tidak lena tidur, kerana bimbang diserang hendap oleh komunis.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh menjalankan tugas, kami tidak bertembung dengan komunis. Apa pun inilah tugas paling getir,” katanya.- UTUSAN ONLINE