ALOR SETAR: Isu kenaikan harga ayam yang membebankan pengguna ketika ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua kementerian terlibat untuk memastikan bekalan ayam tidak terjejas terutama ketika pandemik Covid-19.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa isu kenaikan itu dikaitkan dengan masalah kekurangan bekalan ayam disebabkan banyak kilang ayam ditutup akibat penularan jangkitan Covid-19.
Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat permintaan ayam semakin tinggi di pasaran berikutan kebanyakan sektor makanan sudah dibuka termasuk untuk makan di kedai.
“Di pihak pengeluaran pula ada masalah bekalan kerana banyak kilang ayam ditutup dan baru dibuka semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar melaporkan harga ayam segar di pasar-pasar awam di seluruh negara mencatat kenaikan ketara sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga perlu memainkan peranan kaji balik kos ayam yang harus ditanggung pengeluar dan mencari langkah terbaik untuk mengatasi isu tersebut.
“Saya kira isu kos dedak dan ayam yang meningkat ini sudah lama tetapi tidak diselesaikan oleh kementerian berkaitan.
“Selain itu, kita juga perlu cari alternatif lain untuk tidak bergantung kepada import dedak daripada negara luar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini tidak boleh diletak di bahu penternak malah perlu dikaji dengan mendalam oleh kementerian sekali gus mengambil langkah proaktif menanganinya.
“Bukan ingin salahkan sesiapa tetapi perkara ini perlu ditangani segera demi menstabilkan harga ayam di pasaran.
“Syarikat pengimport dedak juga tidak boleh dipersalahkan kerana mereka turut terbeban dengan kenaikan harga dedak di pasaran dunia kerana pandemik,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya tidak menafikan syarikat penternakan menghadapi masalah kekurangan pengeluaran ketika ini ekoran pandemik Covid-19.
Katanya, penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini turut mempengaruhi operasi syarikat ternakan ayam terutama ketika pekerjanya lewat menerima vaksinasi Covid-19.- UTUSAN ONLINE