Kementerian Kesihatan pertimbang sumbang pulse oximeter - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan pertimbang sumbang pulse oximeter

Khairy Jamaluddin (kanan) dan Chow Kon Yeow dalam sidang akhbar di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang membabitkan isu terkini Covid-19 di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Kementerian Kesihatan mempertimbang untuk menyumbang unit peranti bagi memantau tahap oksigen atau ‘pulse oximeter’ kepada golongan yang memerlukan bagi mengurangkan kes komplikasi kandungan oksigen rendah, ‘Happy Hypoxia’ dalam kalangan pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya mendapati terdapat peningkatan kes golongan yang lebih muda dikesan berdepan gejala Happy Hypoxia yang menjadi pembunuh senyap tidak bergejala pesakit Covid-19.

“Kita sedang lihat peningkatan golongan yang lebih muda yang sekarang berada dalam kategori tiga dan lima dan apa yang kita risau adalah peningkatan kes Happy Hypoxia.

“Kita dengan segera melaksanakan kiraan bajet untuk kita sumbangkan ‘pulse oximeter’ kepada keluarga yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar di sini, hari ini.

Happy Hypoxia mula dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di negara ini hasil pemerhatian klinikal yang dibuat kebelakangan ini.

Tidak hanya di Malaysia, gejala ini yang kebanyakannya menyerang pesakit Covid-19 dalam kalangan individu muda turut berlaku dilaporkan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan juga akan meminta mereka yang sedang menjalani kuarantin kendiri untuk melaporkan kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) mengenai simptom-simptom awal berkaitan dengan kes Happy Hypoxia.

“Kita akan kemas kini komunikasi dengan mereka yang jalani kuarantin kendiri dengan CAC sekiranya berlaku gejala awal Happy Hypoxia seperti kadar denyutan nadi yang tinggi.

“Selalunya dalam kalangan golongan muda ini, mereka tidak akan menghadapi apa-apa gejala, namun dalam tempoh 24 hingga 48 jam, kesihatan mereka boleh merosot dengan mendadak dan menjadi punca kes Brought In Dead (BID) meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya juga merayu klinik-klinik swasta tampil membantu Kementerian Kesihatan untuk memantau pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Inilah masanya untuk pengamal perubatan di klinik swasta membantu pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah dibawah CAC.

“Memang akan ada bayaran terlibat, sekurang-kurangnya mereka boleh bantu pantau 10 hingga 15 pesakit untuk elakkan berlakunya kes BID,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Khairy turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat berhubung isu-isu membabitkan Covid-19.

“Perkara ini merupakan pendekatan bi-partisan yang diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku dan mempercepat usaha menangani jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN