KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan akan menyalurkan lebih banyak bantuan dan kemudahan perubatan ke Sabah dalam membantu menangani trend peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa kemudahan perubatan akan dihantar ke Sabah bermula esok dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 480 unit silinder oksigen, 24 kotak regulator oksigen, 50 kotak ubat-ubatan Covid-19.
Malah, Sabah juga meminta untuk menyediakan modular ICU dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau selain pembinaan Hospital Medan akan turut dibina di daedrah tersebut.
“Kementerian Kesihatan juga akan memperuntukkan 29 buah ambulans tambahan bagi keperluan hospital-hospital di Sabah.
“Bagi membantu petugas kesihatan, kita akan melakukan mobilisasi semula tenaga kerja Kementerian Kesihatan ke Sabah. Maka, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap telah diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September manakala, 50 pegawai perubatan akan ditawarkan lantikan tetap bermula 13 September ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) peringkat negeri Sabah.
Khairy berkata, bantuan dan kemudahan perubatan tersebut antara usaha yang dilakukan Kementerian Kesihatan bagi membantu kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menguruskan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Pada masa ini, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah mencecah 90 peratus dan penggunaan alat bantuan pernafasan (ventilator) 46 peratus.
Maka, perbincangan akan dilakukan bersama JKNS soal unjuran beberapa minggu akan datang bagi memastikan ICU dan keperlukan oksigen mencukupi.
Menurut Khairy, kerajaan persekutuan juga komited untuk menghantar 2.89 juta dos vaksin pada September ini. Penghantaran vaksin itu dilihat akan membantu Sabah meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 dos sehari.
“Kita masih berpegang kepada sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah lengkap divaksin menjelang akhir September dan 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin pada akhir Oktober kerana ini sasaran nilai ambang ditetapkan.
“Justeru, 130 program jangkauan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan JKNS pada bulan ini dan Oktober.
“Apabila 80 peratus penduduk dewasa selesai divaksinasi barulah kita akan mula memberikan vaksin kepada remaja 17 tahun dan ke bawah,” katanya.
Tambah beliau, vaksinasi remaja akan fokus kepada mereka yang berisiko tinggi dan bermula dengan remaja berusia 16 dan 17 tahun terlebih dahulu. -UTUSAN ONLINE










