MELAKA: Seorang penjual bola golf terpakai, Jaafar Leman, 66, melahirkan rasa lega dapat mencari rezeki seperti biasa selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti golf beroperasi semula sejak minggu lalu.
Katanya, senyuman kini kembali terukir di wajah berikutan ramai pemain golf berkunjung ke gerainya untuk mendapatkan bola terpakai.
“Alhamdulilah saya sudah dapat cari rezeki semula seperti biasa. Setiap hari ada sahaja pemain golf singgah beli bola yang saya jual.
“Dua bulan peritnya hidup saya, hilang punca pendapatan apabila orang tidak boleh main golf kerana kelab-kelab tidak dibenarkan beroperasi.
“Tetapi sejak minggu lalu aktiviti golf telah dibenarkan, saya cukup gembira dapat jual bola golf macam sebelum ini. Dapatlah saya cari rezeki buat menyara hidup saya dan isteri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ayer Keroh di sini.
Kisah kesusahan hidup Jaafar yang pernah disiarkan Mingguan Malaysia pada 28 Julai lalu, benar-benar menyentuh perasan orang ramai termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sehari selepas berita itu disiarkan, lokasi yang menjadi tempat warga emas itu berniaga menjadi tumpuan masyarakat, bukan sahaja datang membeli bola golf tetapi turut menyampaikan sumbangan wang saku serta bakul makanan.
Jaafar menambah, kelonggaran yang diberikan kerajaan ini diharap terus berpanjangan kerana penutupan pelbagai sektor secara berpanjangan sangat memberikan kesan besar kepada peniaga kecil sepertinya.
“Saya harap kelab-kelab golf tidak ditutup lagi selepas ini. Kalau ditutup juga payahlah saya nak cari rezeki kerana ini sahaja yang mampu saya buat dalam usia begini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE