KANGAR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri tidak pernah sama sekali menyaman pengusaha mesin padi yang menggunakan jalan raya sebagai laluan ke sawah.
Sebaliknya tegas Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, pihaknya hanya membuat advokasi selepas menerima laporan daripada orang awam mengenai risiko apabila kenderaan berat tersebut berada di atas jalan raya.
Katanya, apabila sesebuah kenderaan tersebut disita, kes berkenaan akan diselesaikan di mahkamah yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.
“Jadi, tiada alasan JPJ cuba menutup periuk nasi pengusaha. Kami faham mereka yang mengusahakan mesin padi bukannya berpendapatan tinggi dan kami mahu mereka terus bekerja di sawah dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam..
Kelmarin akhbar ini melaporkan, dilema yang dihadapi pengusaha mesin padi yang terpaksa berdepan tindakan JPJ termasuk saman kerana menggunakan jalan raya.
Justeru, rata-rata pengusaha dan pesawah berharap agar JPJ dapat menetapkan
garis panduan yang sesuai berhubung masalah tersebut sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
Tambah Fatimah, JPJ sudah menyediakan garis panduan kepada pengusaha mesin padi, selain setiap kenderaan bermotor di negara ini perlu didaftarkan bagi membolehkan berada di atas jalan raya.
Katanya, perkara tersebut juga sudah dibincangkan dengan pengusaha mesin padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam satu taklimat pada musim menuai tahun lalu.
“Malah, satu taklimat baharu akan diadakan dengan pihak yang sama bagi membincang semula isu sama pada Isnin ini,” katanya.
Kata Fatimah lagi, alasan tiada lesen atau kaedah untuk mendaftarkan jentera adalah tidak benar, kerana ada kelas lesen kenderaan mengikut berat tanpa muatan (BTM) untuk sesebuah kenderaan atau jentera tersebut.
Menurutnya, terdapat mesin padi di negeri ini yang berdaftar dan jika tidak didaftarkan sebagai kenderaan atas jalan, ia boleh didaftarkan kepada kenderaan ‘off road’ yang digunakan di sawah sahaja.
“Advokasi yang kami lakukan minggu lalu kerana telah menerima aduan dengan gambar dan juga video di mana mesin padi menggunakan jalan raya dan menggangu serta membahayakan kenderaan yang lain.
“Sebab itulah, kami minta mereka menggunakan trak pengangkut apabila mahu mengalihkan mesin padi ke kawasan yang lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










