ISKANDAR PUTERI: Jabatan Pertanian Negeri Johor menerima peruntukan bernilai RM16.66 juta untuk menyelaras pelaksanaan enam program yang melibatkan seramai 1,583 penerima bermula tahun ini hingga 2022.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta telah diagihkan untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dengan Pengusaha Tanaman serta Industri Asas Tani (IAT).
Menurut beliau, peruntukan yang diterima itu adalah menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi pelaksanaan program atau projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan.
“Tujuannya adalah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan di samping menjadikan Johor sebagai hab utama pengeluaran makanan negara.
“Program ini adalah satu kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai pemain industri dengan pengusaha tanaman atau industri asas tani menerusi urusan jual beli hasil atau produk pertanian, seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Tambah Hasni, persefahaman itu bertujuan untuk mendapatkan harga pasaran yang relevan serta menguntungkan kedua-dua pihak atas nasihat Jabatan Pertanian Negeri Johor.
“Syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan atau eksport, manakala pengusaha berperanan memastikan produk dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat.
“Menerusi program ini, setiap syarikat peneraju akan menerima insentif maksimum RM50,000 bagi setiap syarikat manakala setiap pengusaha menerima insentif maksimum RM20,000.
“Insentif berkenaan akan diberikan dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti serta pembinaan bangunan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) untuk memastikan proses pemasaran berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Hasni berkata, program itu dijangka mampu mengatasi masalah pemasaran serta lambakan produk pertanian yang sering dihadapi pengusaha terutamanya pengusaha kecil dalam mendapatkan harga pasaran yang baik.
“Usaha ini adalah salah satu kaedah untuk mengeluarkan pengusaha yang merupakan petani kecil daripada kepompong kumpulan B40 manakalal syarikat peneraju juga akan mendapat produk pertanian yang mencukupi dan berkualiti, seterusnya mampu meningkatkan pengeluaran makanan negara, “ujarnya.- UTUSAN ONLINE