fbpx

22 Oktober 2021, 10:42 am

  TERKINI

Johor mahu Pusat segerakan dasar suntikan vaksin bawah 18 tahun

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menggesa kerajaan Pusat supaya menyegerakan dasar berkaitan suntikan vaksin Covid-19 kepada individu berusia bawah 18 tahun di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah memberi suntikan kepada golongan berkenaan disambut baik dalam usaha memperluas imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya suntikan dos ketiga diperlukan, saya percaya kerajaan pusat akan membentuk satu dasar berkenaan dengan meningkatkan antibodi atau daya ketahanan diri bagi individu termasuk frontliner yg telah terima dos lengkap. 

“Yang lebih penting ialah suntikan untuk bawah 18 tahun kepada pelajar, mahasiswa dan belia, kita harap kerajaan Pusat akan menyegerakan dasar suntikan dibawah usia 18 tahun,” katanya ketika menjawab soalan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) berkaitan pelaksanaan suntikan dos ketiga kepada individu lengkap vaksin khususnya petugas barisan hadapan negara.

Hasni yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu hadapan.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.

Untuk rekod, setakat ini, kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada remaja berusia 12 ke 17 tahun.

Sementara itu, pelaksanaan program Johor Vaksin Immunisation Plan (J-VIP) oleh kerajaan negeri sejak 6 Ogos lalu telah menyaksikan sebanyak 530 syarikat berdaftar dan seramai 3,899 orang telah divaksin dalam tempoh berkenaan.

Menurut Hasni, J-VIP merupakan satu program yang memberi pilihan kepada majikan untuk menyuntik vaksin kepada pekerja mereka dengan harga RM350 setiap individu. 

Katanya, pelaksanaan program itu bersesuaian dengan usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk, samada warganegara dan bukan warganegara di Johor.

“Johor telah melantik Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (J-Biotech) untuk menyelaras bekalan vaksin yang diperoleh melalui pembelian dan juga melalui sumbangan kepada negeri ini. Impak daripada program ini adalah pekerja dalam pelbagai sektor swasta di negeri ini dapat divaksin secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan program vaksinasi berbayar itu juga memudahkan perancangan industri dan sektor swasta untuk membuka semula operasi perniagaan mereka yang terkesan akibat Covid-19 dengan selamat dan tersusun.

“Selain itu, ia juga membantu kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengoptimakan peruntukan vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) atau pun yang diperoleh melalui sumbangan kepada rakyat awam yang berdaftar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

POPULAR

KOSMO! TERKINI