Jambatan ketiga: KKR mahu Pulau Pinang patuh kriteria sebelum mulakan projek  - Utusan Malaysia

Jambatan ketiga: KKR mahu Pulau Pinang patuh kriteria sebelum mulakan projek 

FADILLAH Yusof (tengah) ketika menghadiri Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan Persekutuan dan Perasmian Projek Naik Taraf Jambatan di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Kerja Raya (KKR) masih belum menerima sebarang usul atau permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga di negeri ini. 

 

Sehubungan itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung cadangan berkenaan buat masa ini. 

 

Beliau bagaimanapun menasihatkan kerajaan negeri supaya mematuhi semua kriteria atau syarat yang ditetapkan KKR sebelum melaksanakan apa-apa projek yang dirancang. 

 

Menurutnya, dalam setiap pelaksanaan projek, banyak perkara perlu dilihat  terutama dari segi kajian awal bagi memastikan sama ada projek itu benar-benar diperlukan atau tidak. 

 

“Jika projek ini diperlukan, yang kedua yang perlu dikaji pula sama ada projek ini akan memberi kesan sosial kepada masyarakat serta persekitaran. 

 

“Seterusnya, kita kena lihat pula dari segi kos efektif, kos manfaat, analisis yang mana semua ini perlu dikaji sebelum sesuatu projek itu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

 

Beliau mengulas mengenai desas-desus kemungkinan jambatan baharu dibina sebagai alternatif menghubungkan antara bahagian pulau dan tanah besar bagi menggantikan projek pembinaan terowong dasar laut. 

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam dalam kenyataannya tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan alternatif baharu itu selepas kajian kebolehlaksanaan projek tersebut dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri. 

 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, secara umumnya, semua kriteria yang disebutkan itu perlu diteliti dan pihaknya akan memberi keutamaan terhadap aspek teknikal. 

 

“Aspek teknikal ini merujuk kepada kebolehlaksanaan dari sudut teknikal yang tidak akan memberi kesan kepada sosial dan persekitaran,” ujar beliau.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN