PORT DICKSON: Aktiviti perkelahan dan perkhemahan termasuk di pantai-pantai perangingan yang ada di daerah ini adalah tidak dibenarkan buat individu yang tidak lengkap divaksinasi.
Perkara tersebut merupakan antara perkara yang digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP), Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Ia susulan kelonggaran dan kemudahan yang diberikan kepada penerima vaksin yang telah lengkap dua dos.
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, semua aktiviti berkumpulan juga adalah tidak dibenarkan kecuali kumpulan kecil dalam kalangan ahli keluarga yang sama.
“Aktiviti perkelahan dan perkhemahan adalah dibenarkan dalam daerah yang sama dan individu yang telah menerima vaksin lengkap dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.
“Penjarakan sosial semasa berada di kawasan pantai hendaklah sentiasa dipatuhi dan aktiviti mandi-manda di pantai adalah dibenarkan dengan mematuhi protokol kesihatan umum dan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zamri lagi, aktiviti pelancongan juga hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja melibatkan hotel dan inap desa (homestay). -UTUSAN ONLINE