PUTRAJAYA: Institut Geologi Malaysia (IGM) kesal ada pensyarah pusat pengajian tinggi tempatan mengaku sebagai pakar geologi dengan memberi ulasan isu tertentu.
Presidennya, Abd. Rasid Jaapar berkata, ahli akademik dari universiti itu mendakwa sebagai pakar geologi atau geosains walaupun tidak berdaftar dengan Lembaga Geologis Malaysia.
“Malah, ada stesen televisyen tempatan buat wawancara individu itu baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan merujuk beberapa insiden bencana geologi buruk berlaku di negara kita.
Ini termasuk kejadian kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di kaki Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos lalu yang membunuh enam penduduk dan menghancurkan ratusan bangunan yang dianggap seumpama tsunami mendapat perhatian luas media apabila cuba ‘bersaing’ mendapatkan komen tokoh akademik tertentu bagi membuat ulasan.
Bagaimanapun, beberapa agensi awam turut mengeluarkan kenyataan rasmi bagi merungkai fenomena buruk itu termasuk dari Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Perhutanan.
Mengulas lanjut, Abd. Rasid berkata, ulasan pensyarah terbabit juga dibimbangi boleh membawa kepada persepsi yang tidak baik kepada kerjaya ahli geologi bertauliah di seluruh negara memandangkan maklumat dan keterangan diberikan oleh ahli akademik itu juga didapati agak mengelirukan masyarakat khususnya mereka yang tiada latar belakang ilmu geologi.
Tindakan tegas boleh diambil kerana menyalahi Akta Geologi Malaysia 2008 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Pada ketika ini dianggarkan terdapat sekitar 2,222 ahli geologi tempatan yang dihasilkan terus daripada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.
Beliau turut berpendapat, lembaga berkenaan perlu mengambil tindakan yang serius dengan menghantar surat rasmi dan surat tunjuk sebab kepada pihak majikan pensyarah tersebut.
Abd. Rasid turut menegur segelintir ahli geologi profesional yang mungkin teruja memberi ulasan mengenai sesuatu kejadian bencana dengan berdasarkan andaian mereka semata-mata yang berkemungkinan boleh memberi gambaran salah kepada pemahaman masyarakat dan lebih dibimbangi mencetuskan keresahan awam.
“Tindakan sebegini sebenarnya adalah bertentangan dengan etika profesionalisme sebagai ahli geologi iaitu pandangan itu mesti berasaskan fakta bukti saintifik dan teknikal,” katanya.
Justeru, beliau dalam nada nasihat menyeru ahli geologi berdaftar dengan IGM tidak terlibat dalam perkara yang melanggar akta dan etika demi memelihara imej kerjaya profesional itu.
Lembaga Geologis Malaysia ditubuhkan pada 2014 lalu selaras pewartaaan Akta Geologi Malaysia dengan mempunyai 14 ahli dilantik menteri bertanggungjawab dan tiga jawatankuasa termasuk wakil dari IGM sendiri yang ditubuhkan sejak 1989 lalu sebagai badan bukan kerajaan yang mengawal selia profesion ahli geologi tempatan berpusat di Putrajaya. – UTUSAN ONLINE