Ibu bapa diseru yakinkan anak terima vaksin - Utusan Malaysia

Ibu bapa diseru yakinkan anak terima vaksin

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Semua ibu bapa dan penjaga di negara ini diseru terus meyakinkan kanak-kanak bahawa vaksinasi adalah satu bentuk perlindungan kesihatan yang selamat agar tidak mudah dijangkiti daripada wabak Covid-19. 

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kumpulan pertama 76,400 orang kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak yang mula menerima vaksin Covid-19  akan menjadi satu indikator dalam membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kepentingan terbaik bagi kanak-kanak.

 

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga mestilah mempunyai kesedaran dan mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai Covid-19 daripada sumber yang mempunyai kredibiliti untuk membendung berita palsu mengenai Covid-19.

 

“Saya berharap ibu bapa sentiasa cakna, berwaspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani Covid-19 bagi melindungi keluarga serta terus memberi advokasi dan kefahaman tentang Covid-19 kepada kanak- kanak.

 

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak, saya menyambut baik perkhabaran gembira ini dalam usaha mengukuhkan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini ketika mendepani pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

 

Rina berkata, pihak kementerian juga sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam memastikan inisiatif pelaksanaan vaksinasi kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 

 

“Sama-samalah kita menzahirkan kebersamaan dalam menjalankan tanggungjawab memerangi Covid-19 demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, ” katanya. 

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun bermula hari ini di Sarawak. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN