HSKLU: Memorandum bantahan diserah sekali lagi - Utusan Malaysia

HSKLU: Memorandum bantahan diserah sekali lagi

SHAQ Koyok hadir bersama wakil gabungan NGO pertahankan HSKLU di Bangunan SUK, Shah Alam hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor berikutan penyahwartaan hutan simpan paya gambut itu. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Orang Asli yang merupakan penduduk berhampiran Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) hadir di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi menghantar memorandum bantahan sekali lagi selepas kali pertama dan kedua pada November 2020 dan Februari lalu tidak mendapat maklum balas

 

Bantahan kali ini dihantar bersama sebuah lagi memorandum yang turut dikemukakan oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu penyahwartaan 537.6 hektar HSKLU yang sebelum ini didakwa diluluskan secara senyap oleh kerajaan negeri melalui majlis mesyuaratnya pada Mei lalu.

 

Aktivis Orang Asli, Shaq Koyok, 36, mendakwa, pada Februari tahun lalu, dia bersama beberapa orang penduduk pernah menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri di sini.

 

“Namun, kerajaan negeri tidak memberikan respon terhadap bantahan kami. Jadi, saya minta kerajaan negeri untuk segera batalkan penyahwartaan ini kerana terdapat kira-kira 1,200 penduduk Orang Asli Temuan yang tinggal di enam kampung di sana,” katanya ketika ditemui hari ini.

 

Minggu lalu, Loy Sian ketika sesi pergulunggan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 memaklumkan kerajaan negeri meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 15 Mei lalu. 

 

Sebagai ganti, kerajaan negeri telah mewartakan 581.48 hektar beberapa buah hutan di Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

 

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Datuk Ahmad Fadzil Abd.  Majid sebelum ini memaklumkan Amirudin menangguhkan penyahwartaan itu dan akan membincangkannya dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

 

Dalam pada itu, Shaq yang berasal dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas di Kuala Langat itu memaklumkan bantahan kali pertama dinyatakan ketika kerajaan negeri menganjurkan sesi pendengaran awam (townhall) di Pulau Carey, Kuala Langat pada November lalu.

 

Menurutnya, penduduk dari enam kampung yang menyatakan bantahan berkenaan iaitu Pulau Kempas, Seri Cheeding, Bukit Kemandol, Bukit Kechil, Bukit Perah dan Busut Baru.

 

“Sesi tersebut turut dihadiri Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian. Saya bersama beberapa penduduk membuat bantahan ketika itu, namun beliau hanya mendengar sahaja tanpa memberikan maklum balas mengenai perkara itu,” jelasnya. 

 

Terdahulu, Shaq tiba bersama 15 NGO di luar pekarangan Bangunan SUK hari ini bagi menyerahkan memorandum bantahan penyahwartaan HSKLU seluas 536.7 hektar.

 

Memorandum tersebut diserahkan kepada ketua setiausaha sulit Menteri Besar Selangor, Hidayat Saudi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN