Hospital swasta di Pulau Pinang digesa main lebih peranan bantu tangani Covid-19  - Utusan Malaysia

Hospital swasta di Pulau Pinang digesa main lebih peranan bantu tangani Covid-19 

NORLELA ARIFFIN (dua dari kanan) ketika diberi penerangan mengenai operasi Covid-19 Emergency Careline di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Hospital-hospital swasta di negeri ini digesa memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam membantu kerajaan negeri menangani penularan pandemik Covid-19. 

 

Selain berfungsi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS), hospital-hospital tersebut juga diharap dapat membantu dari segi penyediaan peralatan perubatan yang berkaitan untuk merawat pesakit Covid-19. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, ketika ini, hospital-hospital kerajaan di Pulau Pinang berdepan masalah mendapatkan katil yang dilengkapi tabung oksigen disebabkan pertambahan pesakit Covid-19 hampir setiap hari. 

 

“Kita perlukan 1,500 ‘oxygen bed’ (katil yang dilengkapi tabung oksigen) dan hospital-hospital swasta ketika ini boleh dikatakan semua katil mereka ada oksigen, tapi mereka hanya menerima pesakit Covid-19 kategori pertama dan kedua sahaja. 

 

“Jadi, sekiranya kita boleh dapatkan sebuah hospital swasta semata-mata untuk perkhidmatan tersebut, maka kita boleh pindahkan pesakit ke situ. 

 

“Tempohnya tidak lama mungkin dua bulan sahaja dan dalam tempoh itu kita sudah boleh nampak kesannya,” katanya. 

 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran Covid-19 ‘Emergency Careline’ yang turut dihadiri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Taman Guar Perahu di sini, hari ini. 

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hampir 80 peratus pesakit Covid-19 di negeri ini enggan mendaftarkan diri untuk memasuki pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) sebaliknya selesa untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing. 

 

Katanya, perkara itu amat membimbangkan apatah lagi jika berlaku perkara yang tidak diingini pada masa yang sama. 

 

“Kadang-kadang, pesakit ini tidak ada apa-apa simptom berkaitan dan beranggapan mereka sihat. Namun, jika penilaian yang dijalankan mendapati mereka perlu ke PKRC, saya mohon tolonglah berbuat demikian,” ujarnya. 

 

Selain Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal, dua lagi PKRC di negeri ini ialah di Pusat Latihan Zakat (Pulaza) di Balik Pulau serta Kompleks Masyarakat Penyayang di Georgetown.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN