PETALING JAYA: Honda Malaysia mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen ‘I’m Vaccinated’ bagi meningkatkan keyakinan para pelanggan dan rakan pengedar untuk berurusan dengan selamat di pusat pameran Honda di seluruh negara.
Untuk itu, Honda Malaysia komited memastikan semua tenaga kerja di seluruh negara mendapat suntikan vaksin dalam tempoh yang telah ditetapkan dan sehingga kini, sebanyak 80 peratus daripada kakitangan pengedar yang telah menerima vaksinasi lengkap sahaja dibenarkan bekerja di pusat pengedar masing-masing.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, menerusi kempen ‘I’m Vaccinated’, pekerja yang telah lengkap suntikan vaksin dalam tempoh 14 hari daripada suntikan kedua akan diberikan pelitup muka dan lencana ‘I Am Fully Vaccinated’ supaya mudah dikenali para pengunjung.
“Kami percaya inisiatif ini dapat membantu meningkatkan keyakinan pelanggan semasa berinteraksi dengan para penjual penjual Honda dan membuktikan kami bersedia bertemu dan melayani pelanggan dalam persekitaran yang selamat.
“Kami juga berharap dapat mendorong lebih ramai mendapat vaksin, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa. Usaha ini bukan sahaja dapat melindungi diri mereka sendiri, malah membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Sempena pembukaan semula perniagaan, Honda Malaysia menawarkan Program Kakitangan Kerajaan dengan pelbagai faedah tambahan bagi setiap pembelian Jazz atau crossover BR-V, selain menikmati diskaun khas sehingga RM1,000 atas promosi sedia ada bermula 1 September hingga 31 Oktober ini.
Bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, syarikat itu turut memperkenalkan Manfaat Istimewa September bermula 1 hingga 30 September dengan penjimatan sehingga RM6,000 untuk pembelian model kereta kegemaran mereka. – UTUSAN ONLINE