MELAKA: Pematuhan harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 dalam kalangan penjual di negeri ini berada pada tahap memuaskan, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.
Beliau memaklumkan, bermula 5 September lalu, sebanyak 86 pemeriksaan telah dilakukan penguat kuasa dan hanya sebuah premis didapati melakukan kesalahan dengan menjual pada harga RM34 seunit.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan seorang peniaga di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini.
“Tindakan diambil bagi memastikan segala undang-undang yang dikuatkuasakan dipatuhi oleh semua peringkat perniagaan dan dijadikan pengajaran.
“Kita dapati sebuah premis di Durian Tunggal menjual tidak mengikut harga yang telah diwartakan iaitu RM34 seunit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah pusat membeli belah di bandar di sini hari ini.
Terdahulu, harga runcit maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit.
Perkara itu diputuskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Kedua-dua kementerian turut menetapkan harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 seunit.
Dalam pada itu, Norena menambah, terdapat juga farmasi yang didapati menjual di bawah harga borong iaitu sekitar RM14.90 seunit, yang mana usaha itu seharusnya dipuji dan kerana prihatin dengan situasi semasa.
“Mereka amat memahami hasrat kerajaan untuk membantu pengguna bersama-sama mengurangkan bebanan kos dalam waktu sekarang ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE