PUTRAJAYA: Hanya 205 kes positif Covid-19 atau meliputi 1.9 peratus daripada keseluruhan 10,959 kes hari ini berada dalam kategori 3, 4 dan 5.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes selebihnya berada dalam kategori 1 dan 2 dengan sejumlah 19 lagi kluster baharu direkodkan.
Menurut beliau, tempat kerja terus menjadi penyumbang sebanyak sembilan kluster, manakala Kelantan merekodkan tertinggi lapan kluster.
Selain tempat kerja, katanya, komuniti mencatatkan lapan kluster manakala pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi, masing-masing satu kluster.
“Kluster tempat kerja melibatkan Johor dan Perak, masing-masing dua kluster manakala Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing satu kluster.
“Kluster komuniti pula, Kelantan merekodkan tujuh kluster dan satu di Sarawak manakala satu kluster pusat tahanan di Sarawak dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 10,959 kes berbanding semalam, 13,104 kes sekali gus 16,430 kes sembuh manakala 980 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 579 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, hanya dua negeri mencatatkan kes positif melebihi 1,000 iaitu Sarawak, 2,723 kes dan Johor (1,226).
“Sebanyak 11 negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Kelantan (983), Selangor (979), Pulau Pinang (793), Sabah (751), Pahang (739), Perak (713), Terengganu (691), Kedah (660), Melaka (346), Kuala Lumpur (176) dan Negeri Sembilan (110).
“Perlis pula merekodkan 51 kes dan Putrajaya, 18 kes manakala Labuan tidak mencatatkan sebarang kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 90 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 89 kes sebelum ia berubah kepada 110 kes.
Rekod terbabit adalah setakat jam 7 petang, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my,
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku peningkatan, sebanyak 278 kes berbanding kelmarin, 228 kes menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 25,437 kes.
Sebanyak 99 daripada 278 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes BID sebanyak 5,022 kes.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Selangor mencatatkan kematian dilaporkan 113 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), lapan kes diikuti Johor (32/20), Sabah (22/12), Kelantan (11/6), Kedah (27/7), Perak (5/6), Sarawak (11/6), Pulau Pinang (31/13), Terengganu (5/2), Melaka (4/3), Pahang (4/4), Kuala Lumpur (12/2), Negeri Sembilan (1/1) dan Perlis (0/1).
Bagaimanapun, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu. -UTUSAN ONLINE