Guna identiti individu lain untuk dapat vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Guna identiti individu lain untuk dapat vaksin Covid-19

ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek lelaki warga Myanmar di PPV RiVAC, pusat beli-belah Gurney Paragon, Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan licik seorang  pekeja kedai kek warga Myanmar menggunakan identiti rakyat senegaranya semata-mata mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 akhirnya memakan diri apabila diberkas polis semalam. 

Suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Pulau Tikus dengan kerjasama petugas keselamatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), pusat beli-belah Gurney Paragon di sini kira-kira pukul 4.20 petang. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan ke atas suspek lelaki terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun pada 6 September lalu. 

Menurutnya, pengadu tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong sejurus hadir mendapatkan vaksin pertama di PPV Tapak Pesta Sungai Nibong. 

“Pengadu dimaklumkan oleh petugas terbabit yang nama dan pasportnya telah didaftarkan di PPV Gurney Paragon. Dos pertama telah diterima pada 20 Ogos manakala bagi dos kedua dijadualkan pada 9 September 2021 di lokasi sama. 

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di PPV berkenaan ketika mahu mendapatkan dos kedua sekali gus merampas i-kad dan kad pengenalan atas nama orang lain iaitu nama pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Soffian memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu  dan seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN