TUMPAT: Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran di media sosial berkaitan didakwa memfitnah beliau berkait isu penyelewengan dan salah guna kuasa.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada jam 11 pagi.
Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat hadir bersama peguamcara yang dilantik, Muhammad Khairul Azwan Azhan dari Tetuan Afiq Aziz & Co.
Peguamnya, Muhammad Khairul Azwan berkata, pada Ahad, anak guamnya mendapati bahawa tular di media sosial melalui tohmahan dan fitnah terhadap Che Abdullah disiarkan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Kudin Tumpat.
Beliau berkata, fitnah tersebut turut tular di Whatsapp, Twitter dan Instagram.
“Laporan polis pada hari ini adalah sebagai Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang bertujuan supaya pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik beliau dan jawatan yang disandang sebagai Ahli Parlimen.
“Secara khususnya beliau membuat laporan polis adalah untuk menghentikan penyebaran fitnah dan tomahan ke atas beliau dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan beliau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat, di sini hari ini.
Che Abdullah dalam pada itu tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung kes kerana masih dalam siasatan polis.
Semalam, tular di media sosial Facebook berhubung dakwaan fitnah oleh satu pemilik akaun yang dikaitkan dengan Che Abdullah menerusi paparan jelas jawatan ahli parlimen berkenaan dalam hantaran itu. – UTUSAN ONLINE