BALING: Seorang ibu melahirkan kerisauan apabila memikirkan kesihatan anak bongsunya yang perlu segera menjalani pembedahan jantung bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.
Siti Fathihah Zainol, 25, berkata, anaknya, Fatih Zulkarnain Mohd. Zuhairi berusia setahun menghidap tiga penyakit berkaitan jantung sejak lahir iaitu penyakit jantung konginetal sianotik, injap jantung sempit dan masalah kekurangan enzim keturunan yang terdapat dalam sel darah.
Menurutnya, dia dan suami, Mohd. Zuhairi Zamri, 30, kerap berulang-alik ke Hospital Baling di sini, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Pulau Pinang untuk rawatan Fatih.
“Pada Jun lalu, doktor mengesyorkan Fatih menjalani pembedahan jantung di Hospital Pulau Pulau pada bila-bila masa sahaja.
“Semua dokumen dan keperluan lain telah diambil oleh pihak hospital, cuma kos pembedahan sebanyak RM70,000 masih belum dapat disediakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Pendiat di sini hari ini.
Menurutnya, kos rawatan itu bagi membiayai kos menjalani pembedahan jantung dan membuka injap jantung yang sempit.
Jelasnya, masalah penyakit anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan setelah melahirkannya memandangkan dia tidak mempunyai sebarang masalah ketika proses kehamilan.
“Anak saya ini aktif dan perlu memantaunya setiap kali dia bermain kerana mudah semput, makanannya juga perlu dijaga serta mengelakkan makanan yang boleh membuatkan pernafasannya terganggu.
“Kalau kesihatannya terjejas, kami perlu membawa Fatih dengan kadar segera di hospital kerana paras oksigennya menurun mendadak,” kata.
Katanya lagi, pada 21 September ini, Fatih perlu menghadiri temu janji doktor untuk memeriksa tahap kesihatan jantungnya dan mereka amat risau untuk membawanya memandangkan keadaan penyakit Covid-19 belum reda.
Tambahnya, dia tidak mampu menyediakan wang yang secukupnya untuk menampung kos pembedahan tersebut memandangkan dia tidak bekerja manakala suaminya pula bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.
Bagaimanapun, tambahnya, anak sulungnya, Nur Syasya Qistina, 7, pula sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan termasuk jantung
“Lembaga Zakat Negeri Kedah ada menghubungi mereka dan masih dalam proses untuk mendapatkan sumbangan kos pembedahan tersebut,” ujarnya.
Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh hubungi mereka di talian 019-7632658 atau menyumbang terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Siti Fathihah, 0211829000211497. -UTUSAN ONLINE










