MELAKA: Nasib enam sekeluarga yang hilang tempat berteduh selepas rumah pusaka didiami mereka musnah dalam kebakaran pada tahun lalu akhirnya terbela apabila dihadiahkan sebuah rumah baharu di Kampung Baroh di sini.
Rumah tersebut merupakan sumbangan menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd. (TNB) Melaka.
Menurut penerima, Anisah Mamat, 42, insiden pada November 2020 itu menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM150,000, lantas terpaksa membawa tiga anak, seorang adik serta ibunya berusia 74 tahun menyewa rumah lain.
“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga, apatah lagi saya perlu menjaga anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun dan ibu yang kini terlantar di atas katil akibat sakit urat saraf.
“Sejak kehilangan rumah pusaka, saya membawa keluarga menyewa di rumah lain dan menjadi pengasuh, namun pendapatan saya hanyalah antara RM400 hingga RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Tambahnya, sebelum ini, dia juga pernah dibantu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang memberikan kediaman sementara di Malim.
Turut hadir menyerahkan rumah tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengurus TNB Melaka, Ahmad Fadhil Aziz.
Sementara itu, Ahmad Fadhil memberitahu, rumah tersebut dibangunkan dengan kos pembinaan RM50,000, dilengkapi tiga bilik serta satu bilik air.
“Pihak kami berharap rumah ini dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan beban yang ditanggung keluarga ini termasuk tidak lagi perlu membayar sewa,” katanya.
Ujarnya, di bawah program tersebut, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi kos pembinaan enam buah rumah pada tahun ini untuk membantu golongan daif dan ibu tunggal. -UTUSAN ONLINE










