Empat matlamat, sembilan fokus tonggak RMKe-12 - Utusan Malaysia

Empat matlamat, sembilan fokus tonggak RMKe-12

poster RMK-12
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran dalam negara kasar (KDNK), peningkatan purata pendapatan isi rumah dan pengecilan jurang KDNK Sabah dan Sarawak serta pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca antara matlamat utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Dalam pembentangan itu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

“Menjelaskan perkara itu secara terperinci, Ismail Sabri telah mengumumkan beberapa matlamat utama dalam tempoh RMK12.

“Pertama adalah pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025. Seterusnya adalah, purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025.

“Ketiga adalah jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025 nanti,” jelasnya dalam pembentangan itu.

Sejajar dengan Perjanjian Paris 2015, matlamat keempat yang diumumkan perdana menteri adalah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005.

Menjelaskan sembilan fokus utama RMK12, Ismail Sabri komited untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan pemangkin pertumbuhan negara.

Selain itu, turut menjadi fokus adalah usaha meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia serta memantapkan keselamatan dan ketenteraman Awam.

Bagi fokus yang seterusnya, perancangan itu turut mengetengahkan usaha untuk membasmi kemiskinan tegar bagi merapatkan jurang pendapatan dan memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia.

Pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun juga telah diumumkan sebagai salah satu fokus selain usaha untuk mempercepat Pertumbuhan Hijau.
Akhir sekali, perdana menteri telah mengumumkan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN