PETALING JAYA: Kerajaan menyedari ekonomi gig merupakan sumber penting pertumbuhan ekonomi malah telah membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat untuk menambah pendapatan.
Ekonomi gig termasuk menawarkan perkhidmatan menggunakan platform digital seperti e-hailing dan p-hailing.
Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.
Selain itu, usaha akan dipergiat untuk mengakreditasi platform tempatan berdasarkan piawaian industri ekonomi perkongsian antarabangsa, bagi meningkatkan daya saing pada peringkat global.
Tambah Ismail Sabri, satu rangka kawal selia sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna adalah dilindungi.
Kerajaan juga akan memastikan pampasan akibat pengangguran, perlindungan kesihatan dan simpanan untuk persaraan diperkukuh. -UTUSAN ONLINE










