KULAI: Dua lelaki yang bergiat aktif dalam kegiatan memproses dan mengedar ketum di sekitar Kulai dan Johor Bahru ditahan polis di Jalan Jaya Sepakat 1, Taman Sepakat, Senai semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 46 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang.
Menurut beliau, penahanan dua lelaki itu turut menyaksikan polis berjaya merampas daun dan air ketum dengan anggaran nilai RM16,000.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas daun ketum seberat 490.4 kilogram (kg) dan 30 botol cecair dipercayai air ketum dengan anggaran keseluruhan cecair 90 liter serta peralatan memproses ketum.
“Siasatan terhadap suspek mendapati mereka aktif mengedarkan air ketum di sekitar Kulai dan Johor Bahru, dengan seorang daripada mereka pernah ditahan atas kesalahan sama pada Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua mereka mendapati mereka negatif penyalahgunaan dadah.
“Suspek yang berusia 46 tahun bagaimanapun mempunyai dua rekod lampau bersabit kegiatan dadah.
“Kedua-dua suspek kini dikenakan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan polis,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya. -UTUSAN ONLINE