Cinta ditolak, pemuda nekad diet hilang 70kg - Utusan Malaysia

Cinta ditolak, pemuda nekad diet hilang 70kg

MUHAMMAD Yusof Bistamam menunjukkan gambar semasa berat badannya 160kg dan kini turun kepada 90kg setelah mengamalkan diet ketika ditemui di Kuala Kangsar. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kecewa cintanya ditolak seorang wanita, seorang pekerja bengkel labu sayong di sini, bertekad mengurangkan berat badannya sehingga mencapai 90 kilogram (kg) berbanding lebih 160kg sebelum ini.

Muhamad Yusof Bistamam, 29, berkata, dia meluahkan rasa cintanya kepada wanita yang disukainya di Tanah Suci ketika menunaikan umrah namun tidak menyangka ditolak menyebabkan dia sangat kecewa.

Muhamad Yusof berkata, bagaimanapun dia tidak menyalahkan wanita itu tetapi diri sendiri kerana fizikalnya yang besar dan tidak menjaga penampilan.

“Saya kecewa dan apabila kecewa, saya banyak makan menyebabkan badan makin besar. Ketika itu saya berfikir saya kena berubah, kerana orang tolak saya disebabkan kesalahan saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Muhamad Yusof, dari Kampung Bendang Kering, Sayong berkata, ketika itu berat badannya mencapai berat lebih 160kg.

Katanya, dia pernah menimbang berat badannya namun tiada bacaan dapat direkodkan pada penimbang kerana had maksimum penimbang ialah 160kg.

“Saya rasa ia satu tamparan hebat, menyedarkan saya terlalu gemuk.

“Saya berfikir saya perlu tekad mengurangkan berat badan, perlu mula menjaga pemakanan dan akhirnya membuat keputusan untuk memulakan diet pada 1 September 2020,” katanya.

Menurut Muhamad Yusof, dia meletakkan sasaran mendapatkan berat ideal iaitu 76kg dalam tempoh setahun diet.

Katanya, namun dia hanya berjaya menurunkan berat badan kepada 90kg ketika ini.

“Saya memang tak sangka boleh hilang sebanyak 70kg dalam masa setahun. Lebih bermakna kerana diet saya tamat pada 31 Ogos lalu dan saya meraikan Hari Kebangsaan dengan cara istimewa setelah bebas daripada kegemukan melampau,” katanya.

Menurutnya, jika dahulu dia memakai seluar bersaiz 50 inci manakala baju bersaiz 5XL, namun kini saiz seluarnya ialah 38 inci manakala baju bersaiz L atau XL.

“Ramai tegur kata saya nampak muda menyebabkan keyakinan diri bertambah. Kini saya tidak lagi rasa rendah diri atau takut dijadikan bahan jenaka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN